Tuesday, January 12, 2010

Pergilah Air Mata 1

prolog

RIUH-RENDAH suara tetamu
tidak mampu membuat dia
turut larut di dalam suasana
meriah majlis itu. Tiba-tiba bermacam-macam perasaan
membalut hatinya. Dalam gembira melihat senyum yang
terukir di bibir Sabrina, tidak dapat dinafikan hatinya cemburu.
Cemburu melihat wajah bahagia manusia di sebelah gadisnya
itu. Semua silapnya. Andainya dia memberi kesempatan
pada Sabrina, andainya dia memberi peluang pada Sabrina…
andainya dia tidak menghukum Sabrina secara melulu, pasti
Sabrina kini menjadi miliknya. Dia pernah memiliki gadis itu,
namun dia mensia-siakan peluang yang ada. Dia biarkan gadis
itu jauh daripadanya.
Tepukan gemuruh tiba-tiba membuat dia tersedar
daripada terus melayan perasaan.
Sabrina tidak lagi berada di pelamin. Kini gadis itu
tersenyum bahagia. Ceria menyertai para jemputan untuk
acara memotong kek. Memang wajar senyuman itu
menghiasi bibir Sabrina setelah sebegitu banyak kesedihan
yang terpaksa diharunginya.

"Aku yang bodoh!"
Dia bermonolog sendiri. Lupa pada
persekitarannya.
"I juga silap menilai…."
Dia berpaling….

-------------------

bab1

TERKIAL-KIAL dia membimbit
beg pakaian yang bersaiz
sederhana besar mengekori
langkah laju lelaki yang mendahuluinya itu. Dalam rasa
canggung yang amat sangat, dia terpaksa mengikut lelaki itu.
Dia tidak ada pilihan. Kurang jelas di mana silapnya, namun
kesilapan itu ternyata membawanya ke dunia asing ini.
Badrul berhenti seketika di hadapan pintu utama
banglo yang tersergam indah itu. Tercegat di situ untuk
beberapa ketika sebelum berpaling memandang wajah
Sabrina.
Menanggapi renungan Badrul yang dingin,
membuat Sabrina kecut perut. Sudahnya, dia tunduk
memandang kakinya sendiri. Tidak sanggup dia membalas
renungan lelaki itu. Renungan yang penuh dengan kebencian.
Renungan yang penuh rasa tidak puas hati.
Perlahan-lahan Badrul menolak daun pintu,
melangkah masuk dengan perasaan yang berbelah bahagi.
Sebenarnya segunung rasa malu menghempap jiwanya saat

ini. Malu untuk berdepan dengan ibu dan ayah. Malu dengan
apa yang telah menimpanya. Teringatkan peristiwa buruk
yang dilaluinya, dia menoleh lagi.
Dengan perasaan yang berbaur, dia merenung tajam
ke arah Sabrina yang masih tercegat di luar. Mematung di
hujung tangga bersama wajah mendungnya. Seperti biasa,
melihat wajah mendung itu, rasa geram pasti meluap-luap di
hatinya. "Hey! Masuklah! Apa lagi tercegat kat situ? Nak
tunggu aku dukung ke?"
Herdikan itu membuat Sabrina tersentak. Beg
pakaian terlepas di tangan. Rasa sebak menyerang jiwanya
tiba-tiba. Dengan begitu mudah, air mata bertamu lagi di
birai mata lalu mengalir laju membasahi pipinya.
Badrul membuang pandang. Itu ajalah yang dia
tahu! Menangis, menangis dan menangis. Naik muak dia
melihat air mata itu.
"Oh! Please… aku benci tengok air mata tu. Please
la!!!" bentak Badrul geram.
Segera Sabrina mengesat air mata yang membanjiri
pipi. Menahan esakan yang mula menghimpit rasa. Melihat
wajah Badrul yang mencuka dan menyedari air mata sering
menitis di pipi, tiba-tiba dia terasa keseorangan di dunia ini.
Ya Allah… kenapa sehebat ini dugaan yang kau berikan
padaku? Tertanggungkah aku, Ya Allah? Sabrina mula
menghitung nasib.
"Masuk!"
Sekali lagi dia tersentak. Perlahan-lahan dia
beranikan diri menentang renungan Badrul yang tetap penuh
dengan kebencian. Beginikah caranya dia disambut di rumah
besar ini? Bukanlah sambutan meriah yang dia harapkan.
Tetapi, janganlah dia dilayan seburuk ini. Walau apa yang
berlaku, dia masih seorang manusia. Menyedari renungan
marah Badrul tidak mungkin berubah, dia kembali
menundukkan muka.
Perlahan-lahan dia mencapai beg pakaian yang
terlucut dari pegangan sebentar tadi. Perlahan-lahan juga dia
melangkah masuk ke dalam banglo mewah milik Datuk
Hamidi. Mengekori langkah Badrul. Kemudian dia cuma
terkebil-kebil melihat Badrul melangkah laju meninggalkannya
sendirian tercegat di tengah-tengah ruang tamu yang luas.
Tiada sesiapa di situ. Apa yang patut dia lakukan di sini? Ke
manakah harus dia aturkan langkah di dalam rumah yang
teramat asing padanya ini? Di mana semua orang? Benci
benar penghuni rumah ini padaku, hati Sabrina berdetik
sendu. Padahal apa yang berlaku bukan salahnya.
Bibir matanya kembali terasa panas. Hiba dengan
layanan keluarga kaya itu. Kehadirannya di situ seolah-olah
tidak dialu-alukan langsung. Ingin sahaja dia pergi dari situ.
Tetapi kakinya sudah terikat. Akad yang baru Badrul lafazkan
tadi, telah merantai langkahnya. Dia sudah terikat dengan
ikatan perkahwinan. Sama ada dia suka atau tidak, dia kini
isteri Badrul. Seorang lelaki yang langsung tidak dia kenali.
Air mata yang menitis disapu perlahan. Cuma itulah
yang mampu dia lakukan sejak seminggu lalu. Menangis,
menangis dan terus menangis.
"Sabrina. Kenapa tercegat kat situ?"
Suara itu membuat Sabrina sedikit tersentak. Ada
orang rupa-rupanya. Pipinya yang basah, disapu segera.
Datuk Hamidi tercegat di hadapannya. Dia cuba mengukir
senyum, namun gagal. Wajah serius Datuk Hamidi cukup
menakutkan. Segarit senyum pun tiada di wajah itu. Serius.
Menakutkan!

"Datuk…." Sabrina bersuara gugup. Serba salah.
Dalam enggan, dia menghulurkan tangan. Tidak mahu
dianggap biadab sebenarnya. Dan tidak pula dia sangka,
Datuk Hamidi sudi menyambut huluran tangannya.
Tangan Datuk Hamidi dikucup perlahan. Walau
lelaki itu suka atau tidak, dia kini sudah menjadi menantunya.
Dia pula sama ada suka atau tidak, perlu menghormati Datuk
Hamidi sebagai mertuanya.
"Duduklah."
Sabrina mematung. Matanya menatap wajah Datuk
Hamidi. Tidak menjangka Datuk Hamidi akan melayannya
sebaik ini.
Melihat wajah Sabrina yang jelas kelihatan serba
salah, Datuk Hamidi mengukir senyum.
Sabrina turut tersenyum. Membalas senyuman bapa
mertuanya dengan sekuntum senyuman yang cukup hambar.
Hatinya sedikit lega melihat senyuman Datuk Hamidi.
Sekurang-kurangnya masih ada insan yang sudi melayannya
seperti manusia.
Perlahan-lahan lelaki itu melabuhkan punggung ke
sofa. "Duduk, Sabrina."
Bicara Datuk Hamidi kedengaran seperti arahan.
Sabrina mengangguk. Dia melabuhkan punggung
di hadapan lelaki separuh abad itu setelah lelaki itu tersandar
selesa di sofa. "Terima kasih, Datuk."
Datuk Hamidi tersenyum nipis. Wajah Sabrina
ditatap agak lama. Jelas kelihatan mata Sabrina yang
bengkak. Pasti terlalu banyak menangis. Wajah itu nampak
cukup sugul. Langsung tiada seri pengantin. Mana datang
serinya kalau semua yang berlaku cuma dalam sekelip mata.

Dia mengeluh perlahan. Arang yang terconteng di muka,
rasanya masih berbekas. Malu sungguh dia dengan tingkah
anak sendiri. Siapa yang harus dipersalahkan? Badrul atau
Sabrina? Sudahnya, dia mengambil keputusan, abaikan siapa
yang salah dan siapa yang betul. Jalan paling selamat baginya,
satukan pasangan itu sebelum lebih banyak cerita tidak enak
diproses dek telinganya nanti. Pasti sakit telinganya mendengar
alunan irama sumbang tentang berita Badrul nanti.
"Sabrina dah menikah dengan Badrul. Bermakna
sekarang ni, Sabrina dah jadi menantu saya. Panggil saya
abah…."
Walau payah untuk dia akui semua itu, kenyataan
yang ada di hadapan mata tidak boleh dia pertikaikan. Badrul
sudah selamat melafazkan akadnya dan ini bermakna Sabrina
adalah menantunya. Dan orang yang bertanggungjawab
memberi arahan itu adalah dirinya sendiri.
Sabrina mendongak. Bagai tidak percaya mendengar
kata-kata yang baru keluar dari bibir Datuk Hamidi.
Bermimpikah dia? Ternyata masih ada insan yang sudi
menerimanya di sini. "Datuk tak marahkan saya?"
"Marah abah takkan dapat mengubah apa yang dah
berlaku." Datuk Hamidi memberi jawapan yang cukup tegas.
Sabrina tunduk lagi. Dalam sekali maksud kata-kata
yang meniti di bibir Datuk Hamidi. Namun dia gagal
menebak erti sebenarnya.
"Badrul mana?"
Sabrina menggeleng. Manalah dia tahu. Masuk
sahaja ke rumah ini, Badrul terus menghilangkan diri.
Meninggalkannya terpacak sendirian di tengah-tengah ruang
tamu.
Perlahan-lahan mindanya kembali berfungsi. Baru
dia sedar, tindakannya yang tidak membantah saat Datuk
Hamidi mengarahkan agar dia dan Badrul dikahwinkan,
adalah satu kesilapan. Tetapi dia memang tidak mampu
berbuat apa-apa saat itu. Dia benar-benar keseorangan. Dia
benar-benar takut. Dia benar-benar bingung dengan apa yang
berlaku. Ditambah pula dengan rasa terkejut yang amat
sangat serta rasa malu yang tidak bertepi, dia benar-benar
menjadi manusia bisu. Dia tidak mampu bersuara walaupun
untuk membela dirinya sendiri. Dia betul-betul menjadi
manusia yang amat lemah.
Saat itu Sabrina cuma terbayangkan wajah Ikmal
dan Maria. Namun, hingga ke akhirnya Maria dan Ikmal tidak
muncul di hadapannya. Tidak tahu apa puncanya. Mungkin
Ikmal dan Maria marah padanya. Marah kerana sekelip mata
dia menjadi seorang perempuan yang tiada maruah.
"Abah minta maaf. Abah tak dapat hadir majlis akad
nikah tadi. Ada emergency. Tapi, Pak Cik Syuib ada, kan?"
Kata-kata yang terlafaz dari bibir Datuk Hamidi,
sekali lagi membuat Sabrina terkejut. Begitu baik layanan
Datuk Hamidi. Ikhlaskah lelaki ini menerimanya sebagai
menantu? Lama dia menatap wajah tenang itu. Tenang,
namun penuh dengan ketegasan.
Sabrina mengukir senyum sambil mengangguk
perlahan, menjawab pertanyaan Datuk Hamidi. Padahal dia
sendiri tidak pasti yang mana satu Pak Cik Syuib yang Datuk
Hamidi maksudkan. Majlis akad nikahnya di masjid sebentar
tadi cuma dihadiri oleh beberapa orang yang langsung tidak
dia kenalinya. Barangkali teman rapat keluarga Badrul.
Barangkali saudara-mara Badrul. Sungguh. Dia tidak tahu.
"Jamilah!" Tiba-tiba Datuk Hamidi memanggil
seseorang.

"Ya, Datuk. Ada apa?"
Muncul seorang wanita pertengahan tiga puluhan.
Mungkin pembantu rumah besar itu.
Dia cuba mengukirkan senyuman untuk wanita itu.
Namun wanita yang dipanggil Jamilah itu cuma membuang
pandang. Senyumnya dibiarkan sepi. Langsung tidak berbalas.
Datuk Hamidi menoleh. "Tolong panggilkan Badrul.
Cakap dengan dia, saya ada hal nak bincang dengan dia."
"Baik, Datuk. Errr… itu pun Encik Badrul, Datuk."
Badrul yang sedang melangkah longlai, berhenti
tatkala mendengar namanya disebut.
Sabrina turut memandang ke arah lelaki itu.
Badrul sudah berganti pakaian. Baju Melayu yang
melekat di badan sebentar tadi, sudah berganti dengan
kemeja T dan seluar jean.
"Bad, ke mari. Abah nak cakap sikit."
Dengan wajah mencuka, Badrul melangkah
mendekati bapa dan isterinya.
"Duduk."
Badrul menurut. Perlahan-lahan dia melabuhkan
pungung ke sofa. Sempat berlaga pandangan dengan Sabrina.
Namun jelingannya yang tajam membuat Sabrina tertunduk
lagi.
"Saya pergi dulu, Datuk." Jamilah bersuara sambil
melangkah mahu meninggalkan kumpulan manusia yang
kelihatan serba canggung itu.
"Tunggu! Tolong simpan beg pakaian Sabrina ni."
"Tak apa, Datuk. Tak payah susah-susah, kak. Nanti
saya bawa sendiri." Sabrina bersuara.
Jamilah kelihatan serba salah.
"Bawa beg pakaian dia!" Tegas suara Datuk Hamidi,
terus mengunci mulut Sabrina.
Jamilah menggaru-garu kepala.
"Ke mana, Datuk?" soal Jamilah lambat-lambat.
Tidak tahu ke mana harus dibawa beg pakaian itu.
Datuk Hamidi merenung tajam wajah pembantu
rumahnya itu. "Ke mana lagi, bilik suami dialah!"
"No way! Dah kurang bilik ke kat rumah ni, abah?
I’m not going to share my room with this woman. No!
Never!" bantah Badrul dengan suara sedikit tinggi. Tidak
berpuas hati dengan keputusan bapanya.
Sabrina semakin menunduk. Pedih! Hatinya terhiris
lagi mendengar kata-kata Badrul. Sedaya upaya dia menahan
air mata supaya jangan menitis lagi.
Jamilah pula terkedu bersama beg pakaian Sabrina
di tangannya. Sekarang, arahan siapa yang perlu dia ikut?
Empunya banglo atau empunya bilik?
"Bawa beg tu ke bilik Badrul!" Datuk Hamidi
bersuara tanpa mempedulikan kata-kata Badrul.
Jamilah akur. Terus melangkah laju meninggalkan
ruang tamu.
"Abah…"
"Diam!" Datuk Hamidi bersuara sebelum sempat
Badrul menghabiskan bicaranya.
Badrul terdiam. Tidak berani melawan walaupun
ada rasa tidak puas hati yang bersarang di jiwa. Dan, semua
rasa tidak puas hati itu berpunca daripada Sabrina!
"Sabrina."

Sabrina mengangkat muka. Memandang wajah bapa
mertuanya, menanti kata-kata yang bakal diluahkan.
"Sabrina dah jadi sebahagian daripada keluarga ni.
Kamu akan tinggal kat sini. Buatlah seperti rumah kamu
sendiri. Cuma satu yang abah minta, jaga maruah sebagai
isteri Badrul."
Sabrina diam. Apa maksud kata-kata Datuk Hamidi?
"Well… Sabrina… Badrul… abah tak tahu apa yang
berlaku antara kamu sebelum ni. Tapi, bila perkara macam ni
dah berlaku, kita dah tak boleh nak buat apa-apa lagi. Nasi
dah jadi bubur. Nak menyesal pun dah tak ada gunanya.
Kamu berdua pun dah menikah. Cuma satu yang abah minta,
Sabrina… sebagai menantu, kamu bertanggungjawab
menjaga maruah keluarga ni. Jangan sampai terconteng
arang sekali lagi di wajah abah dan mama. Abah harap kamu
faham. Dan, kamu juga Badrul."
Sabrina bungkam. Bicara Datuk Hamidi seakan
meletakkan segala kesalahan di bahunya seorang. Ini tidak
adil. "Saya tak bersalah dalam hal ni, Datuk."
Akhirnya Sabrina bersuara membela diri. Akhirnya
keberanian itu muncul juga. Namun rasanya sudah sedikit
terlewat.
"Kau tak salah? Kalau kau tak salah, siapa yang
salah? Aku? Kau nak cakap aku yang salah? Siapa yang masuk
bilik siapa? Kau yang masuk bilik aku, tapi, aku yang salah?
Macam tu?" Cepat-cepat Badrul membalas kata-kata Sabrina
dengan nada marah. Memang marahnya pada Sabrina masih
belum hilang. Rasanya memang tidak akan hilang. Kerana
gadis itu, hidupnya berubah dalam sekelip mata. Statusnya
turut berubah tiba-tiba. Tiba-tiba dia terpaksa menjadi suami
kepada gadis yang langsung tidak dikenalinya.

"Saya tak cakap awak salah. Tapi, betul… ni bukan
salah saya. Ini satu salah faham!"
Badrul tergelak sinis. "Salah faham? Sekarang baru
kau nak cakap semua ni salah faham? Kenapa tak cakap
sebelum kita dinikahkan? Apa sebenarnya rancangan kau,
hah?"
Herdikan Badrul membuatkan Sabrina tersentak.
Walau cuba ditahan, kali ini air matanya tetap mengalir lagi.
Melihat air mata itu, Badrul membuang pandang.
Menyampah!
"Sudah! Cukup! Jangan nak salahkan satu sama
lain. Benda dah jadi. Apa yang berlaku, jadikan pengajaran.
Kita hidup sebagai orang Islam, ada batasan dalam perlakuan.
Bila dah melampaui batasan yang ditetapkan, nilah akibatnya.
Sekarang ni, apa yang lebih penting, Badrul… cuba jadi
seorang suami yang baik. Sabrina, cuba jadi seorang isteri
dan menantu yang baik. Itu aja yang abah harapkan."
Sabrina menahan nafas. Ternyata Datuk Hamidi
pun sama dengan yang lain. Menganggap dia yang bersalah di
dalam hal ini. Rasanya adalah satu perbuatan yang sia-sia
untuk dia menceritakan tentang kebenaran pada insan-insan
yang tidak mahu mempercayainya. Nampaknya dia terpaksa
menanggung rasa malu ini buat selama-lamanya. Sekelip
mata dia berubah menjadi wanita yang tidak bermaruah di
mata semua orang. Bagaimana cara untuk dia bersihkan
kembali namanya yang sudah tercemar ini? Dia buntu. Dan,
sedihnya menerima tuduhan di atas perkara yang tidak dia
lakukan itu. Menyakitkan!
"Bad, bawa Sabrina masuk. Barangkali dia nak
berehat. And, please… jangan bergaduh. Kamu berdua kena
bertanggungjawab atas perbuatan masing-masing."

"It wasn’t me, abah. Saya tak tahu-menahu semua
ni. Saya tak tahu macam mana perempuan ni boleh berada
dalam bilik saya."
"Dia isteri kamu sekarang. Ingat tu! Sudah. Abah
tak nak dengar apa-apa lagi. Bawa dia masuk." Mudah saja
jawapan yang meluncur dari bibir Datuk Hamidi.
Badrul mengeluh keras.
Datuk Hamidi mengangkat punggung. Bergerak
meninggalkan Badrul dan Sabrina.
Sekali lagi Badrul menghadiahkan satu jelingan
benci buat Sabrina.
Sabrina tunduk merenung lantai.
"Kak Milah! Kak Milah! Ke sini kejap!" Badrul
bersuara. Agak keras suaranya. Sengaja ingin melampiaskan
rasa geram yang terbuku di hati.
Terkocoh-kocoh Jamilah datang setelah namanya
dipanggil bertalu. "Ada apa, Encik Badrul?"
"Bawa perempuan ni ke bilik saya!" Badrul memberi
arahan dengan suara dingin.
Sabrina angkat muka. Perempuan ni? Sungguh
hatinya tergores dengan bahasa Badrul. Tidak pernah dia
menerima layanan seburuk ini. Tidak pernah dia dilayan
serendah ini. Air mata yang laju mengalir, dibiarkan saja.
"Baik, encik." Jamilah menjawab sambil
menganggukkan kepala.
Badrul berlalu tanpa banyak bicara.
"Jomlah. Sebab awak, tak pasal-pasal saya kena
tengking. Tak pernah orang dalam rumah ni bercakap kasar
macam tu pada saya tau!" Jamilah mula membebel dengan
wajah yang kelat.

Sabrina angkat punggung. Malas untuk bersuara.
Nampaknya semua orang di dalam rumah ini memang tidak
senang dengan kehadirannya. Kepalanya mula berfikir
kemungkinan demi kemungkinan yang meresahkan.
Bagaimana dia hendak menyesuaikan diri di tengah-tengah
kebencian penghuni banglo ini?

5 comments:

  1. wow..novel on9 ke nih sis.. bpe harga novel nih..nk beli la..

    ReplyDelete
  2. Sayu hati jadi Sabrina...macam best je..Anty suke...

    ReplyDelete
  3. BEST...MENGHAYATI NASIB SABRINA.. UJIAN DARI ALLAH UTK UJI KEIMANAN SESEORANG

    ReplyDelete