Tuesday, January 12, 2010

Pergilah Air Mata 7

bab7

MARIA menggeleng perlahan
sambil mengacau air Nescafe
panasnya. Melihat menungan
Ikmal, membuat dia dilanda resah yang tidak berpenghujung.
Lelaki ini terlalu mengikut perasaan. Terlalu lemah sehingga
sering tewas pada emosinya sendiri. Sekali lagi pandangannya
dilayangkan ke wajah Ikmal. Renungan Ikmal jauh memecah
dinding kaca tempat dia menikmati makan malam. Merenung
kawasan Sunway Lagoon yang luas.
"Ina suka pandang Sunway Lagoon dari sini.
Cantik, katanya." Ikmal bersuara tiba-tiba.
Maria mengangkat muka perlahan-lahan. "Ikmal.
Sampai bila kau nak macam ni? Sampai bila?"
"Entah…." Lemah Ikmal menjawab.
"Orang tu dah kahwin. Dah bahagia agaknya. Kau
pula yang makan hati kat sini."
"Bahagia? Kau tak nampak apa yang aku nampak?"
Maria kerutkan kening. Apa yang Ikmal nampak?

"Apa yang kau nampak?" soalnya perlahan.
"Suami Ina… kasar betul dia dengan Ina."
"Ya ke?"
Ikmal mengangguk perlahan. Peristiwa tiga hari
lepas kembali berlegar di ingatannya. Teringat wajah Sabrina
yang menahan kesakitan. Juga teringat wajah ketakutan
Sabrina mendengar lelaki itu menengkingnya.
"Takkanlah…"
"Aku nampak, Mar. Sakit hati aku. Aku sendiri tak
pernah layan Ina macam tu. Tak ada sesiapa yang pernah
layan Ina sekasar tu. Takkan kau tak perasan? Depan aku, dia
cakap akan buat Ina menderita!"
Maria diam seketika.
"Entahlah... tak tahu nak cakap apa. Hari tu, aku
nampak mereka mesra aja. Macam tak kena kahwin paksa
pun." Tanpa dirancang, meluncur satu pembohongan dari
bibir Maria. Pembohongan yang tidak disengajakan.
"Betul ke?"
Maria mengangguk perlahan sambil meneguk air
Nescafe panasnya. Maafkan aku Ina, dalam diam hatinya
berbisik sendiri. Bukan tidak ada rasa bersalah yang
menghantui perasaannya. Namun, pembohongan itu terpaksa
dia timbulkan.
"Kenapa kau tak bersama Ina hari tu?" soal Ikmal
tiba-tiba.
Maria mengeluh perlahan. Wajah Ikmal dipandang
agak lama. "Dia mahu privacy katanya. So, apa lagi aku nak
cakap? Aku pun keluarlah."
"Ya ke? Takkan Ina cakap macam tu?"

"Itulah yang dia cakap pada aku. Agaknya, sejak jadi
menantu datuk ni, privacy penting kat dia kut. Ikmal, sudahsudahlah
tu. Jangan fikir lagi pasal dia. Aku kasihan tengok
kau terus macam ni. Ina kahwin dengan orang lain, tak
bermakna hidup kau dah berakhir. Berapa kali aku nak ulang
pada kau? Belajar lupakan dia, okey? Dia dah jadi isteri orang
pun."
"Kalau dia bahagia, aku lega. Aku tak kisah.
Walaupun hati aku sakit, aku lega sangat-sangat. Tapi, aku
tak sanggup tengok Ina macam tu. Dia tak bahagia, Mar…."
"Mana kita tahu, Mal? Kita cuma tengok dia hari tu
aja…."
"Tapi, semua tu dah cukup untuk beritahu aku, Ina
tak bahagia. Hidup dia terseksa!"
"Agaknya suami dia cemburu tengok kau dengan
dia. Yalah... orang kalau dah cemburu, macam-macam
gayanya."
Ikmal berfikir seketika. Betul ke kemarahan lelaki
itu berpunca daripada rasa cemburu? Ikmal memandang
wajah Maria yang tenang menghadap nasi goreng.
"Ina tak ada cerita apa-apa ke pada kau?" tanya
Ikmal. Dia cuba merisik sesuatu tentang Sabrina daripada
Maria.
Maria menggeleng perlahan.
"Takkan tak ada langsung?"
"Tak ada. Cerita apa yang kau maksudkan?"
"Pasal peristiwa tangkap basah tu? Hari tukan, dia
cakap bukan salah dia. Mesti dia ada cerita apa sebenarnya
yang berlaku pada kau."
"Tak ada. Bila aku nak buka cerita pasal tu, dia terus
tukar topik. Tak tahu kenapa." Maria memotong kata-kata
Ikmal dengan satu lagi pembohongan.
Wajah Ikmal jelas kelihatan kecewa.
"Kalau kau nak aku paksa dia cerita apa yang
terjadi, aku boleh telefon dan tanya dia."
Ikmal menggeleng perlahan. "Tak apalah, Mar.
Kalau dia tak nak cerita, tak apalah. Takkan kita nak paksa
pula. Mungkin dia tak nak ingat pasal peristiwa tu kut."
"Entahlah…."
"Aku rasa macam mimpi aje, Mar. Semalam mak
aku tiba-tiba tanya pasal Ina. Pelik aku. Entah dari mana dia
tahu Ina kena tangkap basah."
"Errr… kau tak pernah cerita kat mak kau ke?"
Ikmal menggeleng.
"Kenapa kau tak cakap dengan mak kau?"
"Aku tak sampai hati, Mar. Mak aku dah beli semua
barang hantaran untuk pertunangan kami. Bukannya lama,
sebulan aja lagi. Beria-ia dia siapkan semuanya. Takkan tibatiba
aku nak beritahu Ina kena tangkap basah dengan lelaki
lain?"
Maria terdiam. Untuk seketika dia cuma
memandang wajah Ikmal yang semakin murung. "Tapi, mak
kau berhak tahu, kan?"
"Ya. Tapi, aku tak tahu macam mana nak berterus
terang dengan dia. Aku tak berani nak tengok dia sedih. Dia
sayang sangat pada Ina. Tiba-tiba dapat berita macam tu, aku
rasa kau pun boleh agak macam mana reaksinya nanti."
"Tapi… sekarang dia dah tahu, kan?" soal Maria
dengan nada tersekat-sekat.
Ikmal mengangguk lesu.
"So, macam mana penerimaan dia?"
Ikmal tergelak hiba. "Dia mengamuk. Marahkan
aku. Katanya ada orang telefon beritahu Ina kena tangkap
basah."
"Orang? Siapa?" tanya Maria dengan kening
berkerut. Jantungnya berdegup kencang. Jangan-jangan ibu
Ikmal cam suaranya.
"Entah. Mak kata dia tak cam suara orang tu. Tapi,
mak marah betul pada aku. Marah pada Ina. Aku tak salahkan
mak. Aku tahu dia kecewa sangat."
Maria mengeluh lega. "Sekarang macam mana?"
"Dia merajuk dengan aku. Dia kata, benda serius
macam ni pun aku tak nak beritahu dia."
"Laaa… dah tu sekarang ni, macam mana? Betul
juga cakap mak kau tu. Kau rahsiakan benda serius macam
ni daripada dia, macam kau belakangkan dia la. Padahal kau
tahu, dia yang bersusah payah untuk majlis pertunangan kau
tu. Entah-entah dia dah jemput saudara-mara terdekat."
"Itu yang buat dia mengamuk tu!"
"Maksud kau, mak kau dah jemput saudara-mara
dan kawan-kawan dia?"
Ikmal mengangguk lemah.
"Ya Allah, Ikmal. Takkan kau tak terfikir semua ni?
Kenapa tak beritahu mak kau awal-awal lagi? Kan memalukan
kalau tiba-tiba majlis pertunangan tu dibatalkan?"
"Aku lupa. Aku betul-betul lupa pasal majlis tu. Aku
tak boleh nak fikir apa-apa, Mar. Aku jadi blank. Bingung.
Dan, sekarang… bertambah bingung aku dibuatnya."

"Dah ramai ke mak kau jemput orang?"
"Mak dah tetapkan tarikh rupa-rupanya. Tunggu
hari aje. Lagi parah, pak long aku siap nak buat kenduri
kesyukuran. Dah jemput orang kampung, pun…."
"Masalah tu, Mal. Banyak pihak yang terlibat. Kau
pun silap. Kalau kau beritahu mak kau awal-awal dulu,
mungkin mak kau tak marah macam ni. Yalah… macam
mana dia tak marah? Tarikh dah ditetapkan, barang hantaran
dah dibeli, jemputan dah diundang… malu dia kalau tak
jadi."
"Ya, aku mengaku memang salah aku. Tapi, aku
betul-betul buntu masa tu. Aku macam orang sasau." Ikmal
bersuara lemah.
Maria mengeluh panjang. "Yalah… yalah... aku
faham perasaan kau. So, sekarang macam mana?"
"Entah!"
"Entah?" soal Maria dengan kening berkerut.
Ikmal di hadapannya kini, bukan lagi Ikmal yang
dia kenal lapan tahun lalu. Bukan Ikmal yang ceria dan
penuh semangat. Ikmal di hadapannya kini, nampak sungguh
lemah. Ikmal sudah menjadi selemah Sabrina. Walaupun
tidak menangis, dia nampak ada air mata yang bergenang di
birai mata Ikmal. Wajah itu begitu murung sehingga
kemurungan itu menjentik rasa bersalah di hatinya.
"Ikmal… aku faham kau sedih dengan apa yang
berlaku. Tapi, kau kena belajar terima suratan takdir. Kau
kena terima qadak dan qadar yang telah tertulis buat kita.
Aku faham, kalau kau nak terus bersedih pasal Ina. Tapi, aku
rasa sekarang, baik kau tumpukan pada mak kau. Kasihan
dia, Mal. Dia terpaksa hadapi semua ni sendirian," nasihat
Maria.

"Aku dah tak boleh nak fikir. Mak berkeras nak
teruskan pertunangan tu. Bukan ke gila namanya tu?"
"Maksud kau? Mak kau nak kau bertunang juga
dengan Ina? Inakan dah…"
"Bukan dengan Ina. Dengan sesiapa aja!" pintas
Ikmal dengan suara yang cukup lemah.
Maria tergelak kecil. "Serius?"
Ikmal angkat muka. Merenung wajah Maria. "Muka
aku nampak macam main-main ke?"
"Sorry… aku tak bermaksud nak gelakkan kau.
But, it sounds ridiculous. Dengan sesiapa aja?"
Ikmal mengangkat bahu tanpa senyum. Walau berat
permintaan ibunya malam tadi, bukan hal itu yang berlegarlegar
di fikirannya. Bukan kedegilan ibu yang tidak mahu
membatalkan majlis tersebut yang mengganggu lenanya.
Sebaliknya, air mata Sabrina yang mengganggu fikirannya.
Wajah pilu Sabrina yang terus-terusan mengekorinya.
"So, apa kau nak buat sekarang?"
Sekali lagi Ikmal angkat bahu.
"Kau tak boleh macam ni. Jangan jadi lemah sampai
macam ni sekali. Lupakan dulu pasal Sabrina. Sekarang kau
kena fikirkan pasal mak kau."
"Aku tak tahu!"
Maria mengeluh panjang. "Kalau mak kau desak
juga macam mana?"
"Aku dah tak kisah. Aku dah kehilangan Sabrina."
"Maksud kau?"
Ikmal diam seketika. Sekali lagi pandangannya
dihalakan ke luar tingkap.

"Mal… aku tanya ni?"
"Aku tak kisah. Buatlah apa saja. Aku dah tak
kisah!"
"Takkan kau nak bertunang dengan sesiapa saja
pilihan mak kau?"
Ikmal mengeluh panjang. "Tukar topiklah…."
"Ini masa depan kau, Mal. Of course kau kena ambil
tahu. Mana boleh kau serah bulat-bulat pada mak kau."
"Aku yang salah, kan?"
"Yalah… tapi takkan kau nak bertunang dengan
orang yang kau tak kenal? Then… kahwin?"
"Aku dah tak nak fikir semua tu. Perasaan aku dah
mati, Mar. Dah mati. Please stop it. Aku tak nak cakap pasal
tu lagi."
Maria merengus marah. "Mana boleh stop? Aku
takkan biar kawan aku musnahkan hidup dia macam ni.
Dunia belum nak kiamatlah, Mal!"
"But it’s over to me."
"Aku tak nak dengar kau cakap macam ni lagi.
Faham?"
Ikmal tersenyum kelat sambil memandang wajah
Maria yang menyinga.
"Kau marah aku, Mar?" soalnya cuba berlucu.
"Of course aku marah. Kalau kau nak terus hidup
macam ni, baik kau tak payah jumpa aku lagi!"
Ikmal tersenyum kecil. Tersentuh dengan perhatian
Maria. Dia faham kalau Maria marah padanya. Maria tidak
mahu melihat dia terus menyeksa diri. Tapi, Maria tidak tahu.
Maria tidak tahu bagaimana sukarnya membuang selaut rasa
kasih pada Sabrina yang sentiasa mendamaikannya selama
ini. "Thanks, Maria!"
Maria menatap wajah Ikmal yang mula terhias
sekuntum senyum. Walau tidak seceria mana, sekurangkurangnya
dia dapat juga melihat senyum Ikmal.
"Aku hargai perhatian kau. Memang kau sahabat
yang baik. Terima kasih sebab kau tak pernah penat beri aku
kekuatan."
"Aku tak akan pernah penat, Mal. Aku akan terus
berada di sisi kau. Selagi kau perlukan aku."
"Of course I need you. Kalau kau tak ada, tak
tahulah sama ada aku boleh hadapi semua ni atau tak."
Maria tersenyum kecil. Perlahan-lahan dia
menggenggam tangan Ikmal. "I’m here for you. Forever…."
Ikmal tersenyum kecil. "Thanks!"
Maria tersenyum lagi. "Kalau kau kawan aku,
selesaikan masalah mak kau dulu. Kasihan dia…."
"Aku dah tak tahu lagi macam mana cara nak pujuk
dia. Marah betul dia pada Ina. Marah betul dia pada aku."
"Cakap elok-elok dengan dia. Atau… kau nak aku
yang cakap dengan mak kau?"
Ikmal tergelak kecil. "Kau tak kenal mak aku, Mar.
Keras hatinya. Bukan senang nak dipujuk dia. Lebih-lebih
lagi, bila dah melibatkan maruah keluarga macam ni."
"Kita cuba dulu. Tengok ada penyelesaian atau tak?"
"Penyelesaian apa? Dia nak teruskan juga.
Biarkanlah… janji, mak aku tak malu dengan saudara-mara
dan kawan-kawannya."
"Kau?"
Ikmal tersenyum panjang. "Tukar topik lain, okey?
Kalau tak, kita cuma akan mengulang percakapan yang sama.
Biar masa yang tentukan segala-galanya. Okey?"
Maria menarik nafas panjang. Wajah Ikmal
direnung buat seketika.
"Okey!" jawabnya sepatah.
"Tak nak makan ke?" soal Maria tatkala melihat
makanan Ikmal yang langsung tidak berusik.
Ikmal menggeleng perlahan. Seleranya mati.
"Order, tapi tak makan. Makanlah sikit. Aku tengok
kau ni dah susut benar. Makanlah sikit," kata Maria separuh
memujuk.
"Aku tak ada seleralah."
"Hmmm… kalau tak nak makan, kita baliklah."
Ikmal memandang wajah Maria.
Maria tersenyum manis sambil angkat kening.
"Kau baliklah dulu."
Maria kerutkan kening.
"Aku nak duduk sini kejap."
Maria mengeluh lagi. "Sekejap? Sampai Sunway
Pyramid ni tutuplah tu."
Ikmal tersenyum tawar.
Maria menggeleng perlahan. "Aku rasakan, semua
staf kat sini dah cam muka kau. Selalu sangat termenung
melayan perasaan kat sini. Kau duduk sini sampai tua pun,
bukannya boleh ubah apa yang dah berlaku."
"Aku senang duduk kat sini. Aku rasa dekat dengan
Ina."

"Mal… Mal…."
"Aku tahu aku bodoh. Tapi, tak apalah. Aku sanggup
jadi bodoh untuk Ina."
"Aku faham. Kau perlukan masa. Right?"
Ikmal cuma menjawab dengan senyuman.
"Okeylah. Aku nak balik dulu."
"Yup! Terima kasih sebab temankan aku."
"Small matter. Lagipun, kita kawan, kan?"
"Ya. Kita kawan…."
Ikmal tersenyum sambil memandang Maria
menolak hidangannya seraya angkat punggung. Melihat
Maria berlalu pergi, dia menyambung lamunannya.
Menjemput Sabrina hadir ke alam khayalannya. Dia mahu
terus bersama dengan Sabrina saat ini.

1 comment:

  1. jahatnya maria,ni mesti keje jahat dia comfirm!!!!!

    ReplyDelete