Tuesday, January 12, 2010

Pergilah Air Mata 11

bab11

"DAYANA!"
Laju Dayana
melangkah meninggalkan
Badrul. Dalam pada itu, ada rasa hairan mengganggu
perasaannya. Dari mana Badrul tahu dia berada di sini?
"Dayana!"
Sekali lagi Badrul memanggil sambil separuh
berlari, mengejar langkah laju Dayana. Panjang benar rajuk
gadis itu padanya. Bukan main susah untuk dia menjejak
gadis itu. Selepas dia berterus terang dengan Dayana, gadis
itu terus menyepi.
"Tunggu, sayang!" Badrul bersuara sambil mencapai
lengan Dayana.
Sepantas kilat gadis itu merentap tangannya. Marah
betul dia. "Jangan panggil I sayang!"
"Amboiii marah nampak! Kenapa? Dah tak suka I
panggil macam tu ke?" soal Badrul cuba bergurau dengan
Dayana. Dia tahu Dayana marah. Dan dia sedar, memang
wajar untuk Dayana berasa marah. Siapa yang tidak marah
kalau kekasih hati ditangkap basah dengan orang lain.
Terpaksa berkahwin pula tu. Kalau dia pun, pasti dia marah!
"Memang I tak suka! I tak nak jumpa you lagi!!!"
"You dah bencikan I, ke?"
"Apa you buat kat sini?"
"Cari you la…."
Dayana diam seketika. Memandang wajah Badrul
yang kelihatan sedikit tenang berbanding pertemuan mereka
tempoh hari. "Mana you tahu I ada kat sini?"
Badrul tersenyum kecil. "Bukan susah nak cari you.
Ada bau…."
Dayana menjeling geram.
Badrul tersenyum.
"Yanti yang bagitau. Dekat tiga hari tiga malam I
pujuk dia," beritahunya sambil tersengih.
Dayana jegilkan mata. Celaka Yanti! Tak boleh
simpan rahsia betul! kutuknya dalam hati.
"You jangan marahkan dia pulak. I yang paksa dia."
Dayana bungkam.
"You belum jawab soalan I."
"Soalan?"
"You dah bencikan I, ke?"
Dayana diam. Kepalanya dihalakan ke laut yang
terbentang luas. Bencikah dia pada Badrul? Mustahil dia
bencikan lelaki yang begitu dia cintai ini. Dia cuma kecewa.
Kecewa dengan berita yang Badrul sampaikan padanya
tempoh hari. Kecewa dengan nasib yang menimpa
percintaannya dengan Badrul.

Badrul merenung wajah Dayana yang termenung
jauh. Gadis itu tidak menjawab soalannya. Mungkin Dayana
tidak membencinya. Pasti masih ada ruang untuknya di hati
gadis itu.
"You tak jawab soalan I. Kenapa?" Badrul bersuara
perlahan.
Dayana tunduk. Pilu mendengar soalan Badrul.
Tanpa sedar ada air mata yang mengalir di pipinya.
Air mata itu membuat Badrul terkedu. Janganlah
menangis, sayang. Air mata itu meruntun hati ini. Perlahanlahan
Badrul bergerak menghampiri Dayana.
"Syyy… don’t cry," bisiknya lembut di telinga
Dayana. Perlahan-lahan tubuh itu ditarik ke dalam
pelukannya.
Mendengar pujukan lembut itu, tangis Dayana terus
pecah di bahu Badrul. Lama dia pendam kesedihan itu. Dia
cuba tidak menitiskan air mata, menangisi apa yang telah
terjadi. Dia tidak mahu menjadi lemah. Tetapi, kata-kata
Badrul telah membangkitkan rasa pilu yang bukan sedikit di
hatinya. Dia tidak pernah bencikan Badrul. Tidak pernah!
"Jangan menangis lagi."
"I sedih, Bad. Why? Kenapa jadi macam ni?" Dayana
bersuara sendu. Terus membiarkan air matanya mengalir
membasahi t-shirt hitam Badrul.
"You mesti ingat. Bukan you aja yang sedih. I pun
tak sangka semuanya boleh jadi sampai macam ni. Macam
nak gila I cari you. Please… jangan buat macam ni lagi."
Dayana menahan sendunya. Mengangkat perlahan
wajahnya dari bahu Badrul. Menolak perlahan dada Badrul.
Seakan faham, Badrul meleraikan pelukannya.

Dayana menyapu pipinya yang basah. "I buntu. Tak
tahu nak fikir macam mana. Suka atau tak, I dah kehilangan
you. You bukan lagi milik I. Sakit sungguh untuk I terima
kenyataan ni, Bad."
Badrul mencapai tangan Dayana. Dia merenung
mata Dayana yang basah. Melihat wajah itu, perasaannya
berkecamuk. Dia tidak mahu kehilangan gadis ini. "You tak
pernah kehilangan I. I tetap milik you sampai bila-bila."
Dayana tersenyum pahit. Malangnya kenyataan
yang terbentang di hadapan mata tidak seindah bicara yang
meniti di bibir Badrul. "You dah kahwin…."
"Itu bukan masalahnya. You masih marahkan I
pasal kejadian tu ke?"
Dayana mengeluh panjang. Dia sendiri tidak tahu
sama ada dia masih marahkan Badrul atau tidak. Kalau pun
dia marah, wajarkah dia memarahi lelaki itu? Padahal segala
yang berlaku bukan salah Badrul. Badrul diperangkap. Itulah
yang diceritakan oleh Badrul padanya. Dan, hati perempuannya
mempercayai kata-kata itu. "Entahlah, Bad. Kalau I nak
marahkan you pun, buat apa? Tak ada apa yang akan
mengubah kenyataan. I tetap kehilangan you. You sekarang
dah jadi milik perempuan lain."
"I tak pernah jadi milik sesiapa, kecuali you. Youlah
satu-satunya perempuan yang memiliki hati I, wahai Dayana
Dahari."
Dayana tersenyum kecil. Seperti biasa, dia senang
apabila lelaki itu memanggilnya dengan nama penuh. Terasa
betapa dekatnya dia dengan Badrul. "Badrul Datuk Hamidi.
Jangan menggoda I. I tak nak jadi pengganggu rumah tangga
orang."
"I akan terus menggoda orang yang I cintai."

Dayana melangkah perlahan. Membiarkan kakinya
basah disapu ombak yang lesu menghempas pantai.
Badrul turut melangkah santai di sebelah Dayana.
"Cakap memang mudah, Bad."
"I tak akan lupakan you. I tak mampu nak lupakan
you, Yana. Semua yang berlaku ni, tak akan kurangkan cinta
I pada you. I cuma nak satu saja... kita kahwin."
"You gila, Bad. You kan dah kahwin!"
"I nak kita kahwin. Please… jangan tolak
permintaan I ni. Kita kahwin, ya?"
Dayana melangkah laju meninggalkan Badrul yang
terkulat-kulat memandangnya. Permintaan Badrul membuat
dia geram. Pantas Badrul mengejar Dayana sekali lagi.
Dayana terus melangkah tanpa berpaling. Adakah
lelaki itu sengaja ingin menduga hati perempuannya?
"Yana… janganlah macam ni."
"You jangan cakap macam tu depan I!" bentak
Dayana berang.
"Kenapa?"
"Sebab I tak suka!"
"But, why?"
"You dah kahwin!"
"Tapi, bukan dengan you."
"I tak nak kahwin dengan suami orang!"
"Tapi, I kekasih you."
"Yes! Tapi itu dulu. Dulu you memang kekasih I.
Tapi, sekarang you dah ada isteri. You dah jadi suami orang!"
"I tak cintakan dia. I cuma cintakan you. Dan, I nak
kahwin dengan orang yang I cintai. The one that I truly
love."
"But, still… you kahwin juga dengan dia!!!" jerit
Dayana cuba melawan suara ombak.
"Abah yang paksa. Semua ni bukan kehendak I!!!"
jerit Badrul juga.
Dayana menjerit lagi. Kali ini lebih kuat dan
lantang.
Badrul tergelak kecil. Dia tahu Dayana sedang
melepaskan geram. Begitulah selalunya apabila gadis itu
melepaskan rasa marah.
"You jangan nak manipulasi I, okey!" Dayana
bersuara sambil menjeling tajam.
Namun, jelingan itu belum mampu membuat hati
Badrul kecut. Sebaliknya menyemarakkan lagi rasa kasih
Badrul pada gadis itu. "I will. I will, sayang. Sampai you say,
yes!"
Dayana merengus marah. "Jangan seksa I lagi, Bad.
Kalau pun you anggap tu sebagai gurauan… gurauan you tak
lucu langsung. Gurauan you menyakitkan hati I."
Badrul melangkah lebih laju, kemudian berdiri
menghalang langkah Dayana. "Joke? You tengok muka I
macam buat kelakar ke? I’m serious about this. I memang
nak kita kahwin."
"Wife you? Macam mana dengan dia? You nak
ceraikan dia?"
"No. I won’t!"
Dayana kerutkan kening. "You nak madukan I?
Kenapa you tak nak ceraikan dia? You dah jatuh cinta kat dia
ke?"

"I nak ajar dia!"
"What do you mean?"
"I tak akan bagi dia hidup senang. Dengan apa yang
dia cuba lakukan, I think she deserves for it!"
Dayana diam. Dia kehilangan kata-kata. Matanya
merenung wajah Badrul yang tiba-tiba serius. "You… dengan
dia?"
"Nothing happened between I dengan dia. Never!
Percayalah… I langsung tak ada perasaan pada dia. Kalau ada
pun, satu saja."
Dayana menahan nafas. Matanya tajam menatap
wajah Badrul. Tiba-tiba rasa cemburu menguasai diri.
"Benci!"
Tanpa sedar, Dayana menarik nafas lega.
Badrul tersenyum tatkala menyedari riak cemburu
Dayana. Itu bererti, dia masih berpeluang untuk memiliki
semula gadis itu.
"Ada lagi," tambahnya sambil tersenyum nakal.
Dayana jegilkan mata. Dia tahu Badrul cuba
mempermainkannya. Sengaja ingin membuat perasaan
cemburunya muncul lagi. "Apa dia?
"Dendam!"
Dayana mencebik.
"Kenapa?" soal Badrul sedikit hairan dengan
cebikan Dayana.
"Mula-mula memanglah benci. Dendam. Tapi, kalau
dah hari-hari bersama, lama-lama jadi rindu dendamlah
pulak."
"Kalau macam tu, jomlah kita kahwin!"

Dayana diam. Perlahan-lahan dia menyambung
langkahnya yang dihalang oleh Badrul. "Jangan cakap macam
tu, Bad. I tak suka. You pun tahu prinsip I, kan? I tak suka
berkongsi kasih."
"No. You won’t."
"Tapi, bukan ke tak baik you buat dia macam tu?
You tak nak lepaskan dia, tapi you tak nak bertanggungjawab
pada dia."
"I tak akan ikat dia dengan perkahwinan ni. Sampai
masanya, I akan lepaskan dia. I cuma nak ajar dia aja. Ajar
biar dia respect maruah diri. Biar dia tahu bukan senang nak
tipu orang. Bukan senang nak senang. Biar dia serik dan tak
ada lagi lelaki yang jadi mangsa dia."
Dayana diam. Dia memandang wajah Badrul. Tidak
tahu apa perasaannya tatkala mendengar kata-kata Badrul
itu.
"Why? Kenapa pandang I macam tu?"
"Tetap kejam bunyinya," ujar Dayana perlahan.
Badrul tersenyum kecil.
"Sebenarnya dia yang kejam. Kejam pada dirinya
sendiri," ujar Badrul geram. Wajah Sabrina tiba-tiba muncul
di hadapannya. Wajah yang sering mengundang rasa
amarahnya.
"Bad…."
Badrul tersentak kecil apabila lengannya ditepuk
perlahan. Dia menoleh. Dayana memandang ke arahnya. "Ya.
Apa dia?"
"Kita tetap macam dulu, kan?" Badrul bersuara
lirih.
Buat seketika, mata kedua-duanya berlaga pandang.

"Kalau diikutkan hati yang marah, I memang nak
lupakan you. Namun cinta you telah merantai I. I tak boleh
nak buang you dari hidup I."
"Terima kasih, sayang. Terima kasih kerana masih
sudi menyintai I."
"Tapi I rasa bersalah kerana mencintai suami orang.
I rasa berdosa pada isteri you."
Badrul merenung wajah Dayana yang nampak
begitu murung. "You tak bersalah, sayang. Percayalah…
semua ni bukan salah you. Takdir dah tentukan kita begini.
Kita kahwin, ya?"
Dayana tersenyum pahit. Bagaimana mungkin dia
boleh mengahwini Badrul? Bagaimana mungkin dia boleh
berkongsi kasih dengan perempuan lain? Dan, bagaimana
mungkin dia boleh melupakan Badrul? Bagaimana mungkin
dia boleh hidup tanpa lelaki itu? Bagaimana mungkin dia
boleh hidup tanpa cinta lelaki itu? Lagipun bukan sehari dua
mereka menjalinkan cinta. Sudah lima tahun mereka
menyemai kasih, menyulam sayang.
Dayana pandang wajah Badrul. Sungguh! Dia tidak
sanggup kehilangan lelaki itu. Namun di satu sudut yang lain
pula, dia juga tidak sanggup berkongsi kasih dengan
perempuan lain.

No comments:

Post a Comment