Tuesday, January 12, 2010

Pergilah Air Mata 10

bab10

SABRINA termenung di balkoni.
Angin laut kuat menyapa
wajahnya. Membuat rambut
ikalnya yang separas pinggang itu turut beralun ditiup angin.
Permandangan Resort Damai Laut dari balkoni biliknya
nampak begitu cantik. Lebih-lebih lagi apabila petang sudah
disimbah kelam senja. Dia menongkat dagu di situ.
"Kau jangan keluar dari bilik ni!"
Sabrina tersentak. Segera dia berpaling.
Badrul muncul bersama satu beg plastik yang
sederhana besarnya. Dari tengah hari lelaki itu menghilang.
Entah ke mana dia pergi. Hanya nota yang ditinggalkan.
Jangan ke mana-mana. Duduk dalam bilik ini
sampai aku balik!
"Apa?" Sabrina bertanya hairan.
"Pekak ke? Aku cakap, jangan keluar dari bilik ni!"

Sabrina terkebil-kebil. Perlahan-lahan dia bergerak
dari balkoni. Memandang wajah Badrul tanpa berkelip.
"Kenapa pulak?" soalnya hairan.
"Sebab itu arahan aku!"
"Takkan saya nak duduk dalam bilik ni aja?
Bosanlah!"
"Peduli apa aku kau bosan!" Selamba Badrul
menjawab sambil meletakkan beg plastik di tangannya ke atas
katil.
Sabrina menggetap bibir. Perlahan-lahan dia
menghentakkan kaki ke karpet yang lembut. Memberontak
dalam diam. Punah segala angannya. Melihat pantai dan
menikmati angin lembut yang menyapu muka. Malah dia
sudah tidak sabar-sabar ingin menikmati deru ombak sambil
berjalan menyusuri pantai. Tetapi, sekarang? "Awak tak boleh
buat macam ni!"
"Kenapa pulak tak boleh?"
Sabrina memilih untuk diam. Pertanyaan Badrul
itu dibiarkan ditelah angin laut.
"Ingat pesan aku tu!"
"Untuk hari ni aja, kan?" soal Sabrina ingin
mendapatkan kepastian.
"Untuk dua minggu,"
"Hah? Mana boleh!"
"Kenapa pulak tak boleh?" soal Badrul sekali lagi
bersama wajah yang selamba. Tenang hatinya tatkala melihat
wajah Sabrina yang tegang.
"Kalau setakat duduk dalam bilik, baik tak payah
datang sini. Baik awak datang sorang-sorang."

"Memang aku nak datang sorang pun. Yang kau
ikut, kenapa?"
Sabrina menggaru kepala yang tidak gatal. Benarbenar
tidak faham dengan tindakan Badrul. "Kalau betul
awak tak nak saya ikut, cakaplah! Boleh saya cakap dengan
abah yang awak nak honeymoon sorang-sorang."
Tajam mata Badrul mencerlung pada Sabrina.
"Bodoh! Kalau aku datang sorang-sorang, tak adalah
honeymoon namanya. Kau ingat senang-senang ke abah nak
bagi aku ke sini kalau kau tak ikut?"
Sabrina mengeluh perlahan. Betul-betul dia tidak
mengerti dengan pendirian Badrul.
"Tapi, kenapa?" soal Sabrina lemah.
"Aku tak perlu jelaskan apa-apa pada kau. Apa yang
aku nak, mulai sekarang kau duduk diam-diam dalam bilik
ni. Jangan keluar ke mana-mana!"
"Awak tak boleh buat saya macam orang tawanan!"
"Memang sekarang kau orang tawanan aku. Kau
kena ikut segala cakap aku. Kau ingat senang ke nak tipu
orang ni?"
"Kalau saya lapar macam mana?"
"Aku akan belikan kau makanan!"
"Bosanlah saya macam ni. Janganlah kejam
sangat!"
"Tu…." Panjang muncung Badrul menunjukkan
beg plastik yang dibawa sebentar tadi.
"Apa?" soal Sabrina hairan.
"Kalau bosan, kau baca semua tu. Tengok CD ke?"
Sabrina melabuhkan punggung di atas katil. Beg
plastik sederhana besar itu dibuka perlahan-lahan. Matanya
bulat memandang pelbagai jenis majah dan novel di dalam
beg plastik tersebut. Dia mengeluh lemah tatkala meninjau
kandungan beg tersebut. Majalah dan novel berbahasa Cina!
"Saya bukannya reti baca bahasa Cina," rungut
Sabrina perlahan. Bodoh punya lelaki! kutuknya di dalam
hati.
Badrul tersenyum panjang. "Tak boleh baca, tengok
gambar. Tak pun tengok CD."
Sabrina menyelongkar beg plastik tersebut. Pelbagai
judul CD ada di dalamnya. Satu per satu dibelek dan
dicampakkan ke katil.
Badrul tersenyum sambil bersandar di sofa.
Sabrina angkat muka.
"Semua cerita hantu. Nak buat apa?" soal Sabrina
geram.
Badrul ketawa riuh. Dia seronok melihat Sabrina
marah-marah begitu.
"Tengoklah… biar hilang takut kau tu," balas
Badrul senang.
Sabrina memandang wajah Badrul yang tersenyum
lebar. Senyum yang menyakitkan hatinya. "Awak ni saja nak
seksa saya, ya?"
"Smart girl. Yes, I am. Memang aku nak buat kau
terseksa."
Sabrina diam seketika.
"Kalau macam tu, tak apalah…." Akhirnya Sabrina
bersuara perlahan.
Badrul kerutkan kening.

Sabrina angkat punggung. Bergerak semula ke
balkoni.
Badrul bangkit dari sofa. Cepatnya Sabrina
mengalah. Sangkanya Sabrina akan melawan. Langkah kaki
dihayun ke arah balkoni. Dia tidak boleh tinggal diam.
"Tak apalah?" soalnya tidak puas hati.
Sabrina berpaling. Memandang wajah Badrul yang
kelat. Hilang sudah senyum manis lelaki itu. "Yalah. Tak
apalah. Saya ikut arahan awak."
Badrul bersandar di balkoni. Dia mulakan lagi! Kali
ini Sabrina buat muka tidak kisah. "Tak bosan?"
"Tak apalah… setakat bosan aja. Bukannya boleh
buat mati pun," jawab Sabrina, selamba.
Badrul menggetap bibir. Mencari idea lain untuk
memancing rasa marah Sabrina. "Aku tak nak kau tidur…"
"Tak apa. Saya tak kisah tidur kat sofa tu. Bukan tak
biasa pun!" Cepat-cepat Sabrina menyampuk. Apa yang
bermain di kepala Badrul bagaikan sudah dapat dia baca. Dia
tersenyum kecil. Macamlah selama ni aku tidur kat sebelah
dia, Sabrina mula merungut sendiri.
"Aku tak nak kau tidur kat sofa."
"Hah?" Ternganga mulut Sabrina sambil matanya
menyapu seraut wajah Badrul yang tidak mempunyai
perasaan.
Badrul tersenyum sedikit. Tindak balas yang baik.
"Dah tu, takkan saya nak tidur dalam bilik air?" soal
Sabrina sambil cuba mengawal suaranya. Terasa Badrul sudah
sedikit melampau.
"Tidur dengan aku." Selamba cadangan itu keluar
dari bibir Badrul. Dan senyumnya melebar lagi tatkala
melihat wajah Sabrina sudah disimbah riak terkejut. Berjaya!
Dia sudah berjaya memancing amarah Sabrina. Dia sudah
berjaya menggoyahkan ketenangan wajah itu.
"Okey!" jawab Sabrina sepatah.
Senyum Badrul mati tiba-tiba.
Sabrina memalingkan wajah. Cuba sembunyikan
senyum dari mata Badrul. Rancangan lelaki itu tidak berjaya.
"I want more than that!" cabar Badrul geram.
Sabrina berpaling. Memandang wajah Badrul sambil
tersenyum.
"Terserah. Saya halal pada awak," balasnya selamba
sambil melangkah meninggalkan Badrul yang sudah merah
wajahnya. Dia tahu Badrul tidak serius dengan kata-katanya.
Lelaki itu cuma mahu bertikam lidah dengannya. Pelik betul.
Tidak pula dia tahu rupa-rupanya ada jenis manusia yang
suka sangat bergaduh. Contoh yang paling hampir, ialah
lelaki yang tercegat bersamanya saat ini.
Badrul menggigit bibir. Besi balkoni dipukul kuat.
Geram! Selambanya gadis ini mematikan setiap hujahnya.
Selambanya gadis ini membakar perasaannya.
"Halal?" soalnya menahan geram.
Sabrina tersenyum sambil melabuhkan punggung
atas sofa. Wajah marah Badrul dipandang tenang. Senang
hatinya dapat melihat wajah Badrul yang kelat itu.
Badrul melangkah dari balkoni. "Apa kau cakap?
Halal?"
"Yalah. Kenapa? Tak betul ke?"
Badrul menghayun langkah di hadapan Sabrina.
Dia mundar-mandir di situ. Menyuntik sedikit rasa aneh di
hati Sabrina. Langkahnya mati di hadapan Sabrina.

"Yes. You’re right. Kenapalah aku tak terfikir
sebelum ni, ya?"
Entah kenapa, tiba-tiba Sabrina pula diserang
gelisah di sofa.
"Betul? Apa yang betul?" soalnya lambat-lambat.
Senyum yang sudah mula terukir di bibir Badrul, tiba-tiba
membuat dia rasa takut. Dia lupa, dia mencabar seorang
lelaki. Seorang lelaki yang halal padanya.
"Kalau aku cakap, aku nak sekarang… macam
mana?" sergah Badrul sambil melabuhkan punggung di
sebelah Sabrina.
Sabrina terjerit. Terkejut disergah begitu. Dan
terkejut apabila lelaki itu tiba-tiba duduk di sebelahnya.
Terasa semangatnya terbang jauh. Senyuman Badrul mula
membuat dia rasa seram sejuk. Dan, apabila Badrul membelai
rambutnya yang mengurai, dia hampir mahu menangis.
Menyesal rasanya dia mengeluarkan kata-kata itu sebentar
tadi. Seratus kali dia rela Badrul memakinya daripada
berdepan dengan senyuman Badrul yang sangat aneh ini.
Seribu kali dia rela Badrul memarahinya daripada Badrul
melayannya begini.
"Boleh?" soalnya lembut di telinga Sabrina.
Dada Sabrina seakan mahu pecah. Air matanya tibatiba
menitis. Dia sudah tidak kisah kalau Badrul memarahinya
kerana menitiskan air mata. Saat ini, dia berharap suara
lantang lelaki itu memarahinya. Tetapi, kenapa lelaki ini tidak
meninggikan suara? Kenapa lelaki ini cuma tersenyum? Dan,
apabila jari-jemari Badrul menyapu air mata yang mengalir
di pipinya, dia terasa mahu pengsan.
"Kenapa menangis? Kata tak kisah…."
Bahu Sabrina sudah terhenjut-henjut menahan
esakan. Spontan dia bangkit dari sofa dan berlari ke bilik air.
Berdentum dia menutup pintu. Dengan tangan yang
menggeletar, dia mengunci pintu dari dalam. Memang dia
akan tidur di sini malam ini. Dia tidak kisah tidur dalam bilik
air. Debar jantungnya seakan tidak mahu berhenti.
Badrul tersenyum panjang.
"Yes!" bisiknya bersama ketawa besar. Dia menang
kali ini. Padan muka!
Badrul melangkah ke arah bilik air. Perlahan-lahan
dia mengetuk pintu bilik air.
"Kenapa menangis?" soalnya bersama ketawa yang
sukar ditahan.
Diam
"Bisu ke?"
Diam lagi.
"Buka pintu ni!"
"Tak nak!"
"Hidup lagi. Ingatkan dah jadi duda aku tadi.
Manalah tahu, tiba-tiba kau mati mengejut."
Diam.
"Cepat buka pintu ni!"
"Tak nak!"
"Oit! Aku nak mandilah. Kau ni, berlakon over
sangatlah. Cepat buka pintu ni. Aku nak mandi la oiii. Dah
nak masuk maghrib ni!"
"Awak tak serius, kan?"
Badrul tergelak lagi.
"Perasanlah kau! Tak hingin aku. Cepat! Aku nak
mandi ni!" Badrul bersuara dengan nada tinggi. Kesabarannya
sudah mula dicabar.
"Betul?"
"Helo perempuan. Kalau kat dalam dunia ni, hanya
ada kau aja, mungkin aku pertimbangkanlah. Jangan nak
perasanlah. Cepat buka pintu ni!"
"Kejap!"
Tidak lama kemudian, pintu terkuak. Terjengul
kepala Sabrina dengan wajah yang was was.
"Keluarlah!" ujar Badrul geram sambil menolak
daun pintu yang sedikit terbuka. Tangannya pantas menarik
lengan Sabrina.
Sabrina menyeringai menahan sakit.
"Aku cakap elok-elok, kau sengaja nak bagi aku naik
angin."
Sabrina diam. Lengannya yang sedikit sengal,
disapu perlahan. Tidak mengapa. Dia lebih sukakan Badrul
sekarang daripada Badrul yang menyeramkan tadi.
"Awak…" Sabrina memberanikan diri membuka
mulut.
"Apa? Nak kena cium ke?"
"Bukanlah!"
Badrul bergerak mencapai tuala di penyidai. "Dah
tu? Apa?"
Sabrina bergerak agak jauh daripada Badrul. Dia
tidak mahu berada dekat dengan lelaki itu. "Apa kata kalau
saya sewa bilik lain aje?"
Cukup perlahan cadangan yang keluar dari bibir
Sabrina.

"What?" Badrul mula naik angin.
Sabrina tersentak. Perlahan-lahan dia mengurut
dada. "Saya sewa bilik lain. Kita anggap kita tak kenal antara
satu sama lain. Kita buat hal masing-masing."
Badrul merenung tajam ke wajah Sabrina. Dia
melangkah menghampiri gadis itu.
Sabrina cepat-cepat bergerak ke pintu bilik air.
Bersedia lari ke dalam bilik itu, jika Badrul cuba mengapaapakannya.
"Supaya senang kau panggil kekasih kau datang ke
sini? Temankan kau di sini? Aku dah cakap dengan kau, aku
tak akan bagi laluan mudah pada kau. Biar kau tahu langit tu
tinggi atau rendah. So, jangan mimpilah!"
Sinis Badrul bersuara sambil merenung tajam
wajah Sabrina.
Sabrina tunduk. "Itu cadangan aja…."
"Cadangan ditolak!"
Sabrina mengeluh pendek.
"Dah! Tepi! Tak payah nak jadi guard kat bilik air ni
pulak. Aku nak mandi ni."
Sabrina mengengsot ke tepi. Berdentum Badrul
menutup pintu bilik air. Dengan langkah longlai, Sabrina
bergerak semula ke sofa. Dia berbaring di situ. Terasa sia-sia
berada di sini kalau terpaksa berkurung di dalam bilik selama
dua minggu. Apalah agenda Badrul mengajak dia datang ke
sini?

2 comments: