Tuesday, January 12, 2010

Pergilah Air Mata 12

bab12

PERLAHAN-LAHAN Badrul
menolak pintu biliknya.
Sunyi sepi. Dengan santai
dia melangkah masuk. Hatinya berbunga riang. Lebih
seminggu dia di sini, dan usaha memujuk Dayana juga
seakan berjalan dengan lancar. Perlahan-lahan Dayana
dapat menerima situasinya. Perlahan-lahan Dayana seakan
dapat memaafkannya. Mungkin sedikit hari lagi, dia berjaya
memujuk Dayana agar berkahwin dengannya.
Ruang bilik yang luas itu begitu sepi. Tiada bunyi
televisyen seperti selalu. Dia menutup pintu sambil matanya
melilau mencari bayang Sabrina. Tiada di balkoni. Tiada juga
di sofa. Terdetik rasa hairan di hati. Keluarkah gadis itu?
Baru sahaja rasa marahnya mahu meledak, dia terpandang
sesusuk tubuh yang lena di atas katil. Ada rupa-rupanya.
Badrul melangkah ke tepi katil. Memandang
sekeliling tubuh gadis itu. Perlahan-lahan dia menggeleng.
Kasihan melihat wajah yang sedang lena itu. Matanya
dilemparkan ke lantai. Hampir dengan kakinya, beberapa
kotak origami daripada kertas yang sederhana besar, berderet
di kaki katil. Di dalam kotak-kotak tersebut penuh dengan
lipatan origami kecil berbentuk burung dan bunga tulip.
Kesemuanya daripada kertas majalah dan novel Cina yang dia
beli tempoh hari.
Perlahan-lahan dia melabuhkan punggung di atas
katil. Menjenguk wajah Sabrina yang lena. Pasti tertidur
kebosanan. Di kiri dan kanan tubuh gadis itu dipenuhi
dengan origami burung dan bunga tulip pelbagai saiz.
Bersepah di atas katil. Tanpa sedar, bibirnya mengukir
senyum. Pasti gadis ini terlalu bosan. Kasihan. Matanya
kembali ke wajah bujur sirih gadis itu. Mengambil
kesempatan pada lena Sabrina. Wajah itu diamatinya dalamdalam.
Nampak begitu mulus di matanya. Wajah itu begitu
bersih tanpa solekan. Cuma sebiji jerawat sedikit mengganggu
di dahi. Namun tidak sampai mencacatkan. Kerana wajah
Sabrina nampak lebih manis dengan jerawat yang baru mula
memerah itu. Inilah buat kali pertama dia mengambil
kesempatan menatap wajah gadis yang dinikahi lebih sebulan
yang lalu. Kenapalah wajah semulus ini, sanggup melakukan
perkara seburuk itu?
Badrul mengeluh perlahan sambil membetulkan
duduknya agar wajah Sabrina lebih senang untuk terus
diamati. Tiba-tiba hatinya bertanya, berapakah umur isterinya
ini? Sekuntum senyuman sumbing muncul di sudut bibir.
Rupa-rupanya selain daripada nama, dia tidak tahu apa-apa
tentang Sabrina. Pantas tangannya mencapai beg tangan
milik Sabrina. Menyelongkar mencari dompet milik Sabrina.
Dia tersenyum sambil mengeluarkan dompet dari beg tangan
gadis itu. Matanya mengawasi Sabrina. Bimbang kalau-kalau
gadis itu tiba-tiba terjaga. Dia menatap kad pengenalan milik
Sabrina.
"Sabrina Shahzan…" bisiknya perlahan.
"14 September 1981. Hmmm… dua puluh lapan
tahun." Dia mencongak sendiri. Enam tahun lebih muda
daripadanya.
Matanya beralih pula pada sekeping gambar kecil di
sebelah ruang kad pengenalan. Dia tersenyum sumbing.
Gambar Sabrina bersama seorang lelaki dan seorang gadis.
Bergambar bertiga sambil tersenyum riang. Lelaki itu
dikenalinya. Lelaki yang hampir bertumbuk dengannya
tempoh hari. Gadis di sebelah Sabrina itu, tidak pula dia
kenali. Manis senyum yang menghiasi bibir Sabrina cukup
menunjukkan gadis itu begitu gembira saat itu. Matanya
berbalik ke wajah Sabrina yang masih lena. Seminggu lebih
gadis ini terkurung di dalam bilik. Sangkanya Sabrina akan
ingkar pada perintahnya. Nampaknya telahannya meleset.
Sabrina akur pada arahannya itu. Gadis itu tidak lagi
memberontak seperti tempoh hari.
Badrul meletakkan semula dompet Sabrina di
dalam beg tangan. Matanya terpandang pula telefon bimbit
milik gadis itu. Laju tangannya ingin mencapai. Namun,
gerakannya terhenti. Terasa dia sedang mencabuli hak
peribadi gadis itu pula. Sudahnya, dia batalkan niatnya itu.
Beg tangan milik Sabrina diletakkan semula di atas meja di
tepi katil.
Badrul kembali memandang Sabrina sambil
menongkat dagu. Boleh tahan cantiknya gadis ini. Matanya
mula nakal meneliti sekujur tubuh Sabrina. Nampak comel
di dalam track suit besarnya dan body shirt berwarna ungu
gelap. Menyerlahkan warna kulitnya yang kuning langsat.
Sabrina berkalih tidur. Membuat dia sedikit
menggelabah. Dan apabila tangan Sabrina bergerak ke arah
pehanya, spontan dia berundur. Badrul tidak mahu gadis itu
sedar yang dirinya sedang diperhatikan. Namun entah apa
malang nasibnya, dia gagal untuk menyeimbangkan
langkahnya lalu jatuh terduduk di atas karpet. Dan lebih
malang, pandangannya berpinar-pinar apabila kepalanya
terhantuk pada hujung meja kecil di sebelah katil.
"Adui!" jerit Badrul agak kuat sambil memegang
kepalanya yang berdenyut.
Jeritan Badrul itu mengejutkan Sabrina yang
sedang tidur. Pantas dia bangkit dan menoleh ke arah lelaki
itu. Kemudian matanya terpisat-pisat memandang sekeliling.
Kepalanya tiba-tiba berasa sakit kerana tersedar dari lena
secara mengejut. Sambil menggosok-gosok mata, dia
memandang ke arah Badrul yang tersandar di meja kecil
sambil menekan kepala.
"Kenapa awak ni?" soalnya hairan.
Badrul merenung tajam wajah yang terpinga-pinga
itu. "Bodoh!"
Kening Sabrina berkerut. Bodoh? Siapa pula yang
bodoh ni? hati Sabrina berdetik sendiri.
"Benda apa yang bersepah kat lantai ni? Tak ada
kerja lain ke? Sengaja nak bagi aku tersungkur kat sini?"
Badrul bersuara sambil menunjukkan kotak-kotak
kertas yang berderet di tepi katil. Sekadar untuk menutup
rasa malu yang bersarang di hati. Nasib baik Sabrina tidak
menyedari tindakannya sebentar tadi.
Sabrina bergerak ke birai katil. Memandang kotakkotak
yang diatur di situ. Elok sahaja. Tidak ada satu pun
yang berselerak. Dia kembali memandang Badrul. Dahinya
berkerut. Kalau sekadar terlanggar kotak-kotak itu, pasti
sudah berterabur kesemua isinya. Tetapi macam mana Badrul
boleh jatuh? Isy… macam tak percaya aje.
"Awak jatuh ke?" Akhirnya dia ajukan juga soalan
tersebut pada Badrul.
"Tak! Aku tengah tidur ni. Tak nampak ke?" balas
Badrul geram.
"Ohhh tidur…!"
Selamba Sabrina menjawab sambil tersenyum kecil.
Sengaja ingin membuat darah Badrul menyirap. Sengaja
ingin melepaskan rasa geramnya dikurung selama lebih
seminggu di dalam bilik itu. Dek kebosanan, hampir kesemua
kertas di dalam bilik itu dilipat menjadi origami. Ternyata
cubaannya berjaya. Dia dapat melihat wajah lelaki itu merah
menahan marah.
"Sakit ke?" soalnya cuba ambil berat.
"Shut up!" jerit Badrul sambil bangkit bergerak ke
birai katil. Tangannya menekan kuat belakang kepalanya yang
terasa sengal.
Sabrina menggaru kepala. Rambutnya yang panjang
mengurai, diikat ringkas dengan getah pengikat rambut.
Melihat wajah Badrul yang masih menahan sakit, dia
bergerak menghampiri lelaki itu. "Macam mana boleh
jatuh?"
Badrul diam.
"Kepala awak kena apa?"
"Meja."
"Meja? Nak saya tengok?" soal Sabrina lambatlambat.
Badrul diam seketika. Matanya menatap wajah
Sabrina yang nampak betul-betul tidak bersalah. Memang
bukan salah Sabrina pun, dia yang jatuh sendiri. Tanpa
menjawab, perlahan-lahan dia tundukkan kepala di hadapan
Sabrina. Memberi izin pada Sabrina untuk melihat kepalanya
yang mula terasa pedih.
Sabrina terpaku seketika. Tangannya teragak-agak
untuk menyentuh rambut Badrul yang hitam pekat itu.
Sudahnya, dia cuma menjengah. Melihat tempat yang
dipegang oleh Badrul sebentar tadi.
"Kau tengok ke tak?"
"Tengoklah ni... tapi, tak nampak apa-apa pun. Awak
selaklah rambut tu."
Badrul mengangkat muka. Berang dengan kata-kata
itu. "Kau ni, nak tolong ke tak?"
"Naklah. Tapi, macam mana nak tengok kalau awak
tak selak rambut tu?"
"Selaklah sendiri!" arah Badrul garang. Memang
perempuan ini mencabar kesabarannya. Nampak sangat tidak
ikhlas menawarkan pertolongan.
"Boleh ke? Awak tak marah ke?"
"Arghhh!!!" Tanpa sedar, Badrul menjerit geram.
"Okey… okey…." Laju Sabrina menjawab sambil
tangannya cepat-cepat menyentuh rambut Badrul. Dia
menyelak perlahan-lahan tempat yang dimaksudkan. Risau
kalau-kalau tertekan kuat, lelaki itu akan menyinga sekali
lagi. Kepala Badrul kelihatan lebam dan bengkak. Juga sedikit
luka. Pasti terhantuk di bucu meja.
"Luka sikit," beritahu Sabrina.
Badrul menyentuh kepalanya. Tanpa sengaja, dia
tersentuh jari-jemari Sabrina juga.
"Banyak ke lukanya?" soal Badrul tanpa memandang
wajah Sabrina.
"Sikit aje. Tapi dah bengkak. Nak saya tuam?"
"Suka hatilah," balas Badrul sambil lewa.
Sabrina bergerak turun dari katil. Menuju ke arah
seterika yang tersedia di sudut kabinet. Suis seterika
dihidupkan.
"Kau gila ke? Takkan kau nak seterika kepala aku?"
Laju mulut Badrul bertanya membuat Sabrina
melopong seketika.
"Mana ada?"
"Tu? Apa kau buat tu?"
Sabrina memandang ke arah seterika yang sudah
panas. Dia tersenyum lucu. Faham maksud soalan Badrul.
Dalam pandai, bodoh juga lelaki ini! Sabrina menggeleng
perlahan sambil mencapai tuala kecil di atas meja solek.
"Awak duduklah kat sini," arah Sabrina sambil
jarinya lurus dihalakan ke arah kerusi meja solek.
Dalam hairan, Badrul melangkah menghampiri
Sabrina. Dia duduk di kerusi meja solek di sebelah Sabrina.
Hatinya tertanya-tanya, apakah yang sedang Sabrina cuba
lakukan padanya? Jangan balas dendam, sudahlah. Tak pasalpasal
karang, rentung rambutnya yang dijaga rapi itu.
Badrul memandang Sabrina yang sedang
meletakkan seterika di atas tuala. Tidak lama kemudian, tuala
tersebut dilipat kecil dan diletakkan di atas kepalanya yang
bengkak itu. Berkali-kali Sabrina mengulangi langkah yang
sama. Badrul cuma memerhati. Rupa-rupanya itu yang cuba
Sabrina lakukan padanya. Sangkanya Sabrina ingin tuam
kepalanya dengan seterika tadi.
"Mana kau belajar semua ni?" soal Badrul dengan
suara yang sedikit kendur.
"Belajar apa?"
"Tuam pakai seterika ni."
"Oh… kenapa? Awak tak tahu ke?"
Badrul diam. Malas menjawab soalan itu.
"Macam mana awak boleh jatuh ni?"
Setelah agak lama berdiam diri, sekali lagi Sabrina
bertanyakan soalan yang sama.
"Boleh tolong diam, tak?" marah Badrul tiba-tiba.
Takkan dia hendak beritahu Sabrina yang dia terjatuh sebab
terlalu asyik menatap wajah gadis itu.
"Okey. Saya tak tanya lagi," balas Sabrina perlahan.
Tidak mahu mencetuskan suasana yang kurang senang.
Sudahnya, dia kembali menyambung kerjanya. Namun
tersentak apabila Badrul tiba-tiba memegang tangannya.
"Cukuplah tu," ujar Badrul pendek.
"Tapi…."
"Aku cakap cukup, cukuplah!" Badrul bersuara lagi.
Kali ini lebih tegas.
Sabrina sekadar menjongket bahu.
Sebaik Sabrina bergerak menyimpan tuala, cepatcepat
Badrul angkat punggung menuju ke balkoni. Dia ingin
berada jauh dari Sabrina. Ingin membuang jauh debar yang
tiba-tiba bergayut di jiwanya. Tiba-tiba perasaannya berperang
sendiri. Lebih-lebih lagi apabila haruman yang dipakai oleh
gadis itu, berkali-kali menerpa hidungnya. Membuat hati
lelakinya berkocak hebat.
"Awak tak apa-apa ke?"
Badrul tersentak. Dia berpaling memandang wajah
hairan Sabrina.
"Aku okey. Kenapa?" soalnya dengan suara sedikit
bergetar. Saat ini, hanya satu doanya. Janganlah gadis itu
melangkah rapat padanya.
"Muka awak macam ada masalah aje."
Badrul membuang pandang. Memang aku sedang
bermasalah! hati Badrul menjerit, memberontak. "Errr… kau
pergi bersiap."
Tiba-tiba terpacul kata-kata itu dari bibirnya sebaik
dia melihat Sabrina ingin melangkah menghampirinya.
Membuat langkah Sabrina mati tiba-tiba. Itulah yang dia
mahu. Saat ini dia tidak mahu Sabrina berada hampir
dengannya.
"Bersiap?" soal Sabrina hairan.
"Ya! Kau tak faham bahasa Melayu ke?"
"Bersiap nak ke mana?"
Badrul mengeluh keras. Wajah Sabrina direnung.
Tetapi cuma untuk seketika. Dia tidak boleh pandang wajah
itu lama-lama. Dia harus keluar dari bilik ini secepat
mungkin. "Kita pergi dinner."
"Dinner?" soal Sabrina dengan dahi berkerut.
"Ya… dinner. Kalau nak lagi faham, makan malam,"
jawab Badrul separuh geram.
"Tapi, kan awak kata…."
"Kau nak kena cium ke?"
"Okey. Saya bersiap sekarang!" Laju Sabrina
bergerak ke bilik air. Seketika kemudian dia keluar semula.
"Apa lagi tu?!" Badrul sudah mula menengking.
"Lupa ambil baju dan towel," jawab Sabrina sambil
tangannya pantas mencapai tuala dan pakaiannya. Dia kecut
mendengar tengkingan Badrul. Pelik betul. Tiba-tiba sahaja
lelaki itu naik angin.
Badrul mengeluh panjang. Menarik nafas sedalam
mungkin. Kenapalah tiba-tiba perlu muncul perasaan begini?
Pintu bilik air diketuk bertalu-talu.
"Nak apa?"
Terdengar suara Sabrina yang sedikit meninggi,
diselangi bunyi air dari pancuran. Membuat jiwanya semakin
terseksa.
"Aku bagi kau sepuluh minit. Aku tunggu kat
bawah. Cepat!"
Dia bersuara sambil terus berlalu keluar dari bilik.
Tidak betah untuk terus berlama-lama dengan Sabrina.
Bimbang ada sesuatu yang tidak diingini berlaku. Sesuatu
yang akan membuat dia menyesal. Dia tidak mahu
mengecewakan Dayana.

1 comment:

  1. Assalamualaikum...
    Saya sedang menaip kata kunci 'Jerawat Pergilah Engkau!' dan web page anda ni naik di tempat no.1
    Memandangkan dah ada kat sini, lebih baik kita tinggalkan buah tangan kat tuan rumah, ye tak :D
    Untuk mereka yang mahukan jerawat pergi segera meninggalkan diri, sila ke:

    Hapuskan Jerawat Degil

    PS: Harap maklum yg note ni bukan spam ya dik...tapi buah tangan :D

    ReplyDelete